Secara peribadi, saya rasa “junior full stack developer” kurang sesuai untuk diadakan.
Saya rasa lebih bermanfaat untuk individu dan pasukan sekiranya junior pilih salah satu, frontend atau backend dan fokus pada pilihan itu dahulu.
Ya, dia boleh saja buat tugasan yang melibatkan kedua-dua frontend dan backend. Namun, seeloknya dia tumpukan tenaga untuk kuasai satu komponen utama di samping membina kemahiran dalam komponen sampingan.
Saya bermula dengan backend untuk beberapa tahun pertama. Biarpun fokus utama saya adalah backend, saya buat juga frontend seperti jquery, bootstrap, vue dan lain-lain. Kemahiran frontend saya lebih kepada “yang penting dia berfungsi”. Saya akan kenalkan diri sebagai backend developer yang boleh buat frontend.
Selepas beberapa tahun kemudian, saya berazam untuk gilap kemahiran frontend. Maka, saya mohon kerja sebagai frontend developer di syarikat Y. Di sana, saya buat kerja frontend secara eksklusif. Saya belajar untuk lebih serius dalam membina komponen, mengatur sistem dan berkomunikasi dengan backend developer. Saya juga belajar deployment dari perspektif frontend. Minda saya terbuka selapang-lapangnya mengenai dunia frontend.
Sekarang, barulah saya fokus pada full stack development. Kali ini, matlamatnya adalah mengintegrasikan kedua-dua komponen dengan efisyen.